Progam Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran)

05hb.Feb.2008 adalah tarikh bermulanya pembukaan Program Pendidikan Khas Integrasi kategori Bermasalah Pembelajaran. Sehingga catatan ini, banyak aktiviti dan program yang sudah diatur berjalan dengan jayanya. Sambutan yang diberikan oleh lain-lain pihak amatlah memberangsangkan. Pihak pentadbiran sekolah khususnya, pada peringkat awal telah menyediakan peruntukan khas semata-mata program pendidikan khas ini dapat berjalan dengan baik. Hubungan antara pihak sekolah dan Unit Pendidikan Khas di JPN yang baik dan berkesan memudahkan lagi program ini berjalan dengan lebih bermakna. Sehingga sekarang, seramai 3 orang guru dengan seorang pembantu menguruskan kelas pendidikan khas. Walaupun kelas yang begitu terhad dan padat dengan jumlah pelajarnya seramai 28 orang, seboleh mungkin segala perancangan aktiviti dan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

Sehingga catatan ini dibuat, sudah 8 bulan berlalu Program Pendidikan Khas Integrasi ini berperanan. Banyak sudah kejayaan dan kenangan yang memberi makna kepada tenaga pengajar dan pelajar itu sendiri. Segala perancangan yang disusun dan diatur dapat berjalan dengan sempurna. Diharapkan semoga pelajar generasi pertama ini dapat memberi suatu contoh yang terbaik kepada pelajar generasi yang seterusnya. Harapan juga semoga para ibubapa/penjaga kepada pelajar dapat memahami dengan sebaiknya perjalanan kelas pendidikan khas. Ini kerana, ada segelintir penjaga masih beranggapan bahawa pelajar yang berada di dalam kelas pendidikan khas tidak menunjukkan keberkesanannya berbanding dengan pelajar yang belajar di kelas arus perdana.

Buat pengetahuan semua pihak, kami para guru khususnya guru pendidikan khas berusaha sebaik mungkin membantu semua pelajar berjaya dalam hidup. Mata pelajaran yang diajar kepada semua pelajar pendidikan khas adalah mata pelajaran yang disarankan oleh pihak kementerian. Subjek yang diperkenalkan bukan asing kepada pelajar, bahkan membantu mereka memahami kehidupan sebagai seorang pelajar dan ditambah dengan sikap tanggungjawab yang perlu diamalkan. Jika pelajar itu menghadapi masalahnya tertentu dalam kehidupan sebagai seorang pelajar, kami akan melihat kesesuaian rancangan yang sudah dirancang supaya rancangan itu sesuai dengan pelajar tersebut. Situasi ini terkandung dalam arahan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, Bahagian Pendidikan Khas.

Bacaan pelajar ada berlaku peningkatan. Dari jumlah pelajar seramai 28 orang tersebut, sudah 16 orang pelajar telah mencapai tahap bacaan yang baik. Diharapkan sebelum berakhir tahun 2008, seramai 8 orang lagi akan mencapai tahap bacaan yang baik. Mata Pelajaran matematik, pelajar didedahkan dengan konsep asas sebagai pengukuhan. Ini adalah kerana pelajar ketinggalan dari segi konsep asas tersebut.

Sudut-sudut Kelas PPKI



















Program Biskut Raya 2008


09.09.08
Biskut Raya merupakan satu program yang akan memberi pendedahan dan kemahiran kepada pelajar-pelajar pendidikan khas, di mana ia akan dijadikan aktiviti tahunan kelas khas integrasi di sekolah ini. Ianya berteraskan kepada suasana Hari Raya yang akan disambut oleh semua pelajar yang beragama Islam. Kami mengharapkan pelajar pendidikan khas dapat menyelami dan menghayati suasana masyarakat apabila menjelang Hari Raya. Sehubungan itu program ini memberi pendedahan teori dan amali kepada semua pelajar pelbagai kategori. Mereka akan didedahkan dengan pelbagai jenis biskut dan kuih-muih yang biasa terdapat dalam persekitaran dan pasaran.
Melalui program ini diharapkan peserta akan dapat ;
i. Memahami dan terdedah dengan aktiviti masakan khususnya membuat biskut Raya yang menjadi satu aktiviti sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.
ii. Membina sikap positif dan mempertingkatkan estim diri pelajar, dengan wujudnya sikap berani mencuba sesuatu yang menjadi kebiasaan bagi segolongan masyarakat.
iii. Memupuk semangat kerjasama dan keakraban sesama mereka semasa melakukan aktiviti berkumpulan atau berpasukan.
iv. Mengukuhkan kepercayaan bahawa manusia perlu berani menghadapi cabaran dan rintangan sepanjang masa.
v. Menerima sesi pengajaran dan pembelajaran di luar kebiasaan pelajar supaya mereka berasa suasana yang berbeza.

Jemputan ke Program Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Dalam Komuniti SMKSID

27.08.08
Satu jemputan untuk menghadirkan diri ke Program Kesihatan di SMK Sultan Ibrahim 2 baru-baru ini. Program ini adalah program bersama antara Pusat Pengajian Sains Pergigian HUSM dengan SMK Sultan Ibrahim 2. Perasmian program ini oleh Ybhg Prof.Madya Dr.Hj Ab.Rashid Hj Ismail, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM.

Minggu Kesihatan D’Pendidikan Khas SMK Kota





25'.08.08


Semua pelajar berpeluang mengikuti Minggu Kesihatan D'Pendidikan Khas di SMK Kota. Minggu Kesihatan ini adalah anjuran bersama SMK Kota dan Unit Pendidikan Khas JPN. Selama seminggu SMK Kota telah menerima kedatangan tetamu dari sekolah integrasi yang berdekatan. Program ini dirasmikan oleh Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Tuan Hj.Nasrudin Talib. Sepanjang program ini berlangsung pelajar boleh menyertai pertandingan melukis, pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan, ceramah kesihatan dan pemeriksaan gigi. Penglibatan pelajar sepanjang minggu tersebut amatlah menggalakkan.


Pelajar SMK Mulong telah menyertai hampir semua aturcara yang diadakan. Pada pandangan pihak kami, adalah lebih bermakna sesuatu majlis itu jika ada penyertaan yang konsisten dari semua program integrasi yang ada. Program yang diatur bukan sahaja mendapat manfaat kepada pelajar, malah dapat mewujudkan persahabatan yang erat antara semua program integrasi.


Program Anak Angkat Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2008




17.08.08

Jabatan Pelajaran Kelantan telah dilantik oleh Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai tuan rumah bagi Program Anak Angkat Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2008. Program ini bermula pada 17hb.Ogos dan berakhir pada 20hb.Ogos 2008 bertempat di SMK.Kota, Kota Bharu. Di dalam program ini seramai 4 orang pelajar SMK.Mulong menyertainya. Masing-masing pelajar selama tarikh tersebut berada bersama keluarga angkat.

Program Anak Angkat ini memberi kesan yang baik kepada pelajar pendidikan khas khususnya, kerana mereka terdedah dengan kehidupan keluarga angkat masing-masing. Selama berada bersama keluarga angkat, pelajar mengenali cara asuhan, jadual pembelajaran yang diberi kepada anak mereka, cara anak-anak mereka belajar serta berpeluang mengikuti program yang sudah diatur.

Komitmen yang diberikan terhadap program ini amatlah menggalakkan oleh semua pihak. Diharapkan program seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Lawatan ke SMKSID (Projek Rehal dan Ikan Keli)









12.08.08
Lawatan ke SMK Sultan Ibrahim 2 adalah khusus bagi melihat dan mempelajari sedikit sebanyak cara-cara membuat rehal dan pengurusan projek ikan keli. Projek membuat rehal ada kaitan dengan Mata Pelajaran Kemahiran Hidup, manakala projek ikan keli berkaitan dengan program ke kerjaya yang sedang diaplikasikan di semua program integrasi. Lawatan ini sedikit sebanyak memberi pendedahan awal kepada semua pelajar. Dengan pendedahan melalui lawatan sambil belajar ini diharapkan pelajar bersedia dengan lain-lain perancangan yang diatur oleh guru nanti.

Menyertai Majlis Harijadi di YOKUK



31.07.08


Majlis sambutan Hari Jadi kanak-kanak istimewa telah berlangsung dengan jayanya. Majlis ini adalah anjuran Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK). Penyertaan adalah meliputi semua kanak-kanak istimewa termasuklah dari kalangan pelajar Program Integrasi di sekolah yang berhampiran. Semua pelajar dari SMK Mulong telah menyertainya. Aturcara program bermula seawal jam 9.00 Pagi lagi. Banyak acara yang disediakan memberi kepuasan dan kegembiraan kepada kanak-kanak istimewa. Dengan penyertaan guru pengiring, jururawat pelatih HUSM, badan-badan NGO, dan para ibubapa kanak-kanak, sedikit sebanyak memeriahkan suasana pada hari tersebut.

Harapan semoga banyak pihak memberi sokongan yang bermakna kepada golongan kurang upaya ini.

Menyertai Karnival Permainan Pendidikan Khas Kelantan (Futsal)


21.07.08


Unit Pendidikan Khas, JPN telah mengadakan Karnival Permainan Pendidikan Khas Kelantan 2008. Karnival ini diadakan bagi memilih murid-murid pendidikan khas yang layak untuk menyertai Karnival Permainan Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada Ogos 2008 di Negeri Johor Darul Takzim. Tempat pemilihan ialah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kelantan, Lati, Pasir Mas, Kelantan. Program ini bermula pada jam 8.00 Pagi dan tamat pada jam 1.00 Tengahari.

Penyertaan pelajar dalam program ini amatlah diharapkan oleh semua pihak. Di samping mengadakan pemilihan, pelajar juga berpeluang berkomunikasi dan bersua muka dengan rakan-rakan mereka dari sekolah lain. SMK Mulong yang dikategorikan antara sekolah yang baru tubuhkan program integrasi, tidak ketinggalan menyertai juga program ini. Lima orang pelajar turut serta dalam sesi pemilihan dan 3 orang telah terpilih, antaranya ialah Muhd Rizduan, Muhamad Amin dan Nik Mohd Saddam.

Lawatan ke SK Kampung Sireh & Pusat Boling KB Mall

10.07.2008
SK Kampung Sireh menyediakan Program Pendidikan Khas bagi Masalah Penglihatan. Melalui lawatan ke sekolah ini pelajar terdedah dengan suasana pembelajaran untuk pelajar yang mempunyai masalah penglihatan. Pelajar boleh mengetahui cara pelajar ini berhubung antara satu sama lain. Mungkin mereka boleh bercakap dengan sempurna tetapi untuk menyampaikan sesuatu perkara dalam bentuk tulisan akan menjadi masalah. Di sini pelajar terdedah dengan penggunaan alatan braille sebagai penghubung melalui tulisan.
Selain lawatan ke SK Kampung Sireh, pelajar diberi peluang bermain boling di Pusat Boling KB Mall. Di pusat boling ini, pelajar didedahkan dengan salah satu aktiviti riadah yang boleh pelajar libatkan diri.

Program Bacaan pelajar Inklusif



01.07.2008

Program Bacaan diperkenalkan khusus kepada semua pelajar inklusif seramai 14 orang. Program ini bermula pada 15 Jun 2008 dengan penglibatan semua guru pendidikan khas. Masa yang dijadualkan ialah setiap hari waktu persekolahan bermula jam 12.30 hingga 1.30 Thari. Program ini merupakan kesinambungan dari program Celik Minda yang diusahakan oleh pihak sekolah melalui Panitia Bahasa Melayu. Segala perkembangan bacaan pelajar akan dicatat dan direkodkan. Setiap dua bulan, kemajuan bacaan pelajar akan diuji bagi menentukan tahap bacaan masing-masing. Kedatangan pelajar pada waktu tersebut juga akan direkod bagi mengetahui komitmen mereka kepada program yang dibuat. Sehingga catatan ini dibuat seramai 7 orang pelajar telah dapat menguasai bacaan dengan mengambil kira pelajar sudah dapat membaca buku cerita. Pihak kami juga menyediakan sejumlah buku cerita yang perlu dibaca oleh semua pelajar yang layak. Jumlah buku cerita yang telah dibaca akan direkodkan.

Projek Futsal



01.07.08
Projek Futsal merupakan suatu program pendedahan dan latihan yang disediakan khusus kepada semua pelajar yang berdaftar dengan PPKI. Mengikut perancangannya sebanyak 15 kali pelajar akan diberi latihan bermain bola sepak di dalam dewan tertutup. Sehingga catatan ini tersiar sudah 9 kali pelajar terdedah dengan permainan Futsal. Dewan yang menjadi tumpuan kami ialah Nick Futsal. Dewan yang terletak di Jalan Salor, Pasir Mas ini agak sesuai dengan pelajar pendidikan khas kerana ianya jauh dari gangguan persekitaran luar. Pihak pengurusan dewan juga memberi kerjasama yang bermakna.
Objektif yang ingin dicapai melalui projek ini ialah, diharapkan pelajar dapat memahirkan diri dengan permainan futsal dan seterusnya terpilih dalam pemilihan ke peringkat kebangsaan nanti.

Program Membeli-belah

18.06.08
Pada hari ini semua pelajar didedahkan dengan persekitaran di luar kelas. Mereka dibawa ke Pustaka Muda Osman, Ghazali Perabut, dan kedai alatan sukan InterSticker. Di Pustaka Muda Osman semua pelajar diberi peluang memilih buku-buku yang sesuai dan juga alatan bahan mengajar. Mereka berada di situ selama 2 jam. Buku-buku yang dipilih dan agak sesuai untuk bacaan dan kegunaan dalam kelas akan dibeli. Ianya akan dijadikan rujukan pelajar dan guru di dalam kelas PPKI. Bagi melengkapkan peralatan di dalam kelas PPKI, pelajar juga diajak bersama memilih perabut yang agak sesuai untuk di letakkan dalam kelas. Kami memilih rak-rak untuk bahan bacaan, rak kasut, rak untuk bilik pengurusan, rak fail, peti besi bertingkat, dan 3 buah kerusi.
Bersesuaian dengan projek Futsal yang akan bermula pada 01 Julai 2008, pelajar dibawa ke kedai alatan sukan InterSticker yang lokasinya terletak di perkarangan Stadium Sultan Mohd ke IV. Kami memilih 10 pasang kasut futsal, 2 set karom, 2 set congkak, dan 6 batang raket badminton.
Pada akhir program ini, pelajar merasa puas dan amat gembira sekali kerana inilah pertama kalinya pelajar terdedah dengan aktiviti seumpama ini yang tidak ada dalam arus perdana. Akhirnya pelajar singgah di sebuah warung di Wakaf Che Yeh untuk menjamu selera (makan tengahari).

Majlis Tilawah Pendidikan Khas Kelantan 2008


12.06.08
Majlis Tilawah ini diadakan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Lati, Pasir Mas. Penyertaan adalah melibatkan semua sekolah yang menjalankan program pendidikan khas. SMK.Mulong telah menghantar 5 orang wakil dengan penyertaan dalam bahagian tilawah dan azan. Dua orang peserta dari SMK.Mulong telah mendapat tempat ke-2, iaitu Nur Asma’ Atiqah dan Mohd Norfadli masing-masing dalam acara tilawah. Mohd Norfadli juga mendapat tempat kedua dalam bahagian azan. Harapan pihak sekolah agar lebih ramai lagi pelajar dapat menyertai program seumpama ini.

Kem Motivasi PPKI 2008







14.05.08



Program ini diadakan di Home Beach Village, Kg. Baru Pantai Cahaya Bulan. Program ini berjalan selama 3 hari. Kem Motivasi ini merupakan salah satu program yang memberi pendedahan perkhemahan kepada pelajar pendidikan khas. Ianya juga akan dijadikan program tahunan. Pelajar yang terlibat seramai 10 orang. Program ini merupakan suatu program bersama dengan guru SMK.Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas.

Antara objektif yang ingin dicapai ialah:
* Mendorong kefahaman terhadap alam sekitar sebagai suatu anugerah daripada Tuhan yang perlu dihargai dan dicintai,
* Memerhati dan mengenali flora dan fauna persekitaran HB Village
* Membina sikap positif dan bertanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi dan sumbernya,
* Memupuk semangat kerjasama dan keakraban semasa melakukan aktiviti yang dirancang oleh guru,
* Berdikari dan mengurus diri apabila menjalani kehidupan tanpa ibu bapa
* Mengukuhkan kepercayaan bahawa manusia amat bergantung kepada alam sekitar.
* Berjiwa kental apabila mengharungi sesuatu kesulitan.

Lawatan Ke Taman Tengku Anis




17.04.08
Program lawatan ke Taman Tengku Anis adalah program bersama dengan SMK.Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas. Pelajar didedahkan dengan sebuah taman yang berkonsepkan keluarga. Di dalam taman ini pelajar dapat menjalankan riadah, tempat permainan kanak-kanak, mandi di kolam, meninjau binatang peliharaan pihak taman, dan mengetahui bentuk atau model bangunan lama. Program lawatan ini mendapat kerjasama yang baik oleh pihak pengurusan taman. Pada akhir sesi lawatan ini, pelajar merasakan kepuasan dan gembira. Mereka mengharapkan pada sesi akan datang diadakan lagi lawatan ke taman ini. Taman Perbandaran Tengku Anis menjadi ingatan yang amat bermakna kepada mereka.

Perlawanan Futsal Persahabatan


15.04.08
Perlawanan Futsal 4 penjuru. Perlawanan ini adalah anjuran SMK.Mulong dengan hadiah disumbangkan oleh pihak JPN(Bahagian Pendidikan Khas). Antara sekolah yang terlibat ialah, SMK.Mulong, SMK.Kota, SMK.Sultan Ibrahim 2, dan SMK.Air Lanas. Johan disandang oleh SMK.Air Lanas. Perlawanan futsal ini diadakan sebagai langkah awal dan pendedahan kepada pelajar SMK.Mulong khususnya bagi menyertai pemilihan pada peringkat negeri pada 21.07.08 nanti. Pendedahan perlawanan ini juga membuka ruang kepada PPKI menyediakan suatu bentuk latihan yang berterusan kepada pelajar. Jika diizinkan, satu projek latihan akan diadakan pada setiap hari Selasa antara jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi bertempat di dewan Nick Futsal.

Mendaftar Pelajar PPKI


13.04.08


Seramai 21 orang pelajar telah didaftarkan di dalam rekod pendaftaran pelajar PPKI. Proses pendaftaran pelajar bermula dengan program pengenalpastian pelajar arus perdana. Ciri-ciri pelajar yang dikenalpasti ialah yang ketinggalan dari segi penguasaan 3M. Selainnya, mereka mempunyai pelbagai kelemahan dari segi sosial, pengurusan diri, cara pembelajaran yang salah, dan yang utama dari segi masalah kesihatan. Proses mendaftar pelajar dimulakan dengan langkah 1 iaitu, mendapatkan pengesahan pegawai perubatan dengan mengisi borang dianogsis yang disediakan. Dua sesi perjumpaan yang diluluskan oleh Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh melalui surat bertarikh 06.04.08. Melalui pengesahan yang diberikan, pihak kami PPKI meneruskan langkah yang ke-2 iaitu mendapatkan surat penempatan dari pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Unit Pendidikan Khas. Surat tawaran telah dikeluarkan kepada semua pelajar yang terlibat. Berikut adalah antara pelajar yang direkodkan dalam PPKI.


Lawatan


Mengikut perancangan tahunan, PPKI mengadakan lawatan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Lawatan ini diharapkan pelajar dapat menimba ilmu dan luas pandangan. Pada 31 Jan.08 PPKI mengadakan lawatan ke Pusat Pembiakan Ikan Keli di Machang, pada 14 Feb. ke PPKI di SMK.Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas. Pada 28 Feb. lawatan ke Pusat Membuat Batik Jalan PCB dan pada 27 Mac ke HUSM (Bahagian Baikpulih Anggota)

Majlis Perjumpaan Ibubapa Pelajar Intervensi & PPKI


Pegawai Khas dari Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Kelantan, En.Md.Noor b.Maun memberi ucapan perasmian sempena majlis yang diadakan. Majlis ini dihadiri ibubapa seramai 20 orang dengan ditemani pelajar (anak-anak mereka). Dalam ucapannya, beliau melahirkan hasrat pihak Unit Pendidikan Khas khususnya supaya ibubapa bagi pelajar intervensi mengambil peluang ini mendaftar anak-anak mereka dalam PPKI. Masyarakat seharusnya jangan melihat pendidikan dalam pandangan yang sempit malah perlu memberi peluang kepada anak-anak belajar mengikut keperluan dan keupayaan mereka.

SMK.Mulong melakar sejarah

SMK Mulong telah dipilih sebagai tempat yang sesuai bagi menjalankan Program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran). Program ini ditubuhkan pada 5hb. Feb.2008. Pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah amat mengalu-alukan program ini. Ia menjadi sumber inspirasi pelajar arus perdana mengenali dan bergaul secara lebih dekat dengan pelajar pendidikan khas.Pada peringkat permulaannya sebuah kelas yang dikenali sebagai bilik Celik Minda digunakan sebagai kelas untuk menjalankan proses P & P. Bermula dengan 4 orang pelajar dan 2 orang guru program ini mula mengorak langkah. Tenaga pengajarnya adalah berpengalaman dan berkelulusan dalam bidang pendidikan khas.