Projek Futsal



01.07.08
Projek Futsal merupakan suatu program pendedahan dan latihan yang disediakan khusus kepada semua pelajar yang berdaftar dengan PPKI. Mengikut perancangannya sebanyak 15 kali pelajar akan diberi latihan bermain bola sepak di dalam dewan tertutup. Sehingga catatan ini tersiar sudah 9 kali pelajar terdedah dengan permainan Futsal. Dewan yang menjadi tumpuan kami ialah Nick Futsal. Dewan yang terletak di Jalan Salor, Pasir Mas ini agak sesuai dengan pelajar pendidikan khas kerana ianya jauh dari gangguan persekitaran luar. Pihak pengurusan dewan juga memberi kerjasama yang bermakna.
Objektif yang ingin dicapai melalui projek ini ialah, diharapkan pelajar dapat memahirkan diri dengan permainan futsal dan seterusnya terpilih dalam pemilihan ke peringkat kebangsaan nanti.

Program Membeli-belah

18.06.08
Pada hari ini semua pelajar didedahkan dengan persekitaran di luar kelas. Mereka dibawa ke Pustaka Muda Osman, Ghazali Perabut, dan kedai alatan sukan InterSticker. Di Pustaka Muda Osman semua pelajar diberi peluang memilih buku-buku yang sesuai dan juga alatan bahan mengajar. Mereka berada di situ selama 2 jam. Buku-buku yang dipilih dan agak sesuai untuk bacaan dan kegunaan dalam kelas akan dibeli. Ianya akan dijadikan rujukan pelajar dan guru di dalam kelas PPKI. Bagi melengkapkan peralatan di dalam kelas PPKI, pelajar juga diajak bersama memilih perabut yang agak sesuai untuk di letakkan dalam kelas. Kami memilih rak-rak untuk bahan bacaan, rak kasut, rak untuk bilik pengurusan, rak fail, peti besi bertingkat, dan 3 buah kerusi.
Bersesuaian dengan projek Futsal yang akan bermula pada 01 Julai 2008, pelajar dibawa ke kedai alatan sukan InterSticker yang lokasinya terletak di perkarangan Stadium Sultan Mohd ke IV. Kami memilih 10 pasang kasut futsal, 2 set karom, 2 set congkak, dan 6 batang raket badminton.
Pada akhir program ini, pelajar merasa puas dan amat gembira sekali kerana inilah pertama kalinya pelajar terdedah dengan aktiviti seumpama ini yang tidak ada dalam arus perdana. Akhirnya pelajar singgah di sebuah warung di Wakaf Che Yeh untuk menjamu selera (makan tengahari).

Majlis Tilawah Pendidikan Khas Kelantan 2008


12.06.08
Majlis Tilawah ini diadakan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Lati, Pasir Mas. Penyertaan adalah melibatkan semua sekolah yang menjalankan program pendidikan khas. SMK.Mulong telah menghantar 5 orang wakil dengan penyertaan dalam bahagian tilawah dan azan. Dua orang peserta dari SMK.Mulong telah mendapat tempat ke-2, iaitu Nur Asma’ Atiqah dan Mohd Norfadli masing-masing dalam acara tilawah. Mohd Norfadli juga mendapat tempat kedua dalam bahagian azan. Harapan pihak sekolah agar lebih ramai lagi pelajar dapat menyertai program seumpama ini.

Kem Motivasi PPKI 2008







14.05.08



Program ini diadakan di Home Beach Village, Kg. Baru Pantai Cahaya Bulan. Program ini berjalan selama 3 hari. Kem Motivasi ini merupakan salah satu program yang memberi pendedahan perkhemahan kepada pelajar pendidikan khas. Ianya juga akan dijadikan program tahunan. Pelajar yang terlibat seramai 10 orang. Program ini merupakan suatu program bersama dengan guru SMK.Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas.

Antara objektif yang ingin dicapai ialah:
* Mendorong kefahaman terhadap alam sekitar sebagai suatu anugerah daripada Tuhan yang perlu dihargai dan dicintai,
* Memerhati dan mengenali flora dan fauna persekitaran HB Village
* Membina sikap positif dan bertanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi dan sumbernya,
* Memupuk semangat kerjasama dan keakraban semasa melakukan aktiviti yang dirancang oleh guru,
* Berdikari dan mengurus diri apabila menjalani kehidupan tanpa ibu bapa
* Mengukuhkan kepercayaan bahawa manusia amat bergantung kepada alam sekitar.
* Berjiwa kental apabila mengharungi sesuatu kesulitan.

Lawatan Ke Taman Tengku Anis




17.04.08
Program lawatan ke Taman Tengku Anis adalah program bersama dengan SMK.Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas. Pelajar didedahkan dengan sebuah taman yang berkonsepkan keluarga. Di dalam taman ini pelajar dapat menjalankan riadah, tempat permainan kanak-kanak, mandi di kolam, meninjau binatang peliharaan pihak taman, dan mengetahui bentuk atau model bangunan lama. Program lawatan ini mendapat kerjasama yang baik oleh pihak pengurusan taman. Pada akhir sesi lawatan ini, pelajar merasakan kepuasan dan gembira. Mereka mengharapkan pada sesi akan datang diadakan lagi lawatan ke taman ini. Taman Perbandaran Tengku Anis menjadi ingatan yang amat bermakna kepada mereka.

Perlawanan Futsal Persahabatan


15.04.08
Perlawanan Futsal 4 penjuru. Perlawanan ini adalah anjuran SMK.Mulong dengan hadiah disumbangkan oleh pihak JPN(Bahagian Pendidikan Khas). Antara sekolah yang terlibat ialah, SMK.Mulong, SMK.Kota, SMK.Sultan Ibrahim 2, dan SMK.Air Lanas. Johan disandang oleh SMK.Air Lanas. Perlawanan futsal ini diadakan sebagai langkah awal dan pendedahan kepada pelajar SMK.Mulong khususnya bagi menyertai pemilihan pada peringkat negeri pada 21.07.08 nanti. Pendedahan perlawanan ini juga membuka ruang kepada PPKI menyediakan suatu bentuk latihan yang berterusan kepada pelajar. Jika diizinkan, satu projek latihan akan diadakan pada setiap hari Selasa antara jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi bertempat di dewan Nick Futsal.

Mendaftar Pelajar PPKI


13.04.08


Seramai 21 orang pelajar telah didaftarkan di dalam rekod pendaftaran pelajar PPKI. Proses pendaftaran pelajar bermula dengan program pengenalpastian pelajar arus perdana. Ciri-ciri pelajar yang dikenalpasti ialah yang ketinggalan dari segi penguasaan 3M. Selainnya, mereka mempunyai pelbagai kelemahan dari segi sosial, pengurusan diri, cara pembelajaran yang salah, dan yang utama dari segi masalah kesihatan. Proses mendaftar pelajar dimulakan dengan langkah 1 iaitu, mendapatkan pengesahan pegawai perubatan dengan mengisi borang dianogsis yang disediakan. Dua sesi perjumpaan yang diluluskan oleh Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh melalui surat bertarikh 06.04.08. Melalui pengesahan yang diberikan, pihak kami PPKI meneruskan langkah yang ke-2 iaitu mendapatkan surat penempatan dari pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Unit Pendidikan Khas. Surat tawaran telah dikeluarkan kepada semua pelajar yang terlibat. Berikut adalah antara pelajar yang direkodkan dalam PPKI.


Lawatan


Mengikut perancangan tahunan, PPKI mengadakan lawatan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Lawatan ini diharapkan pelajar dapat menimba ilmu dan luas pandangan. Pada 31 Jan.08 PPKI mengadakan lawatan ke Pusat Pembiakan Ikan Keli di Machang, pada 14 Feb. ke PPKI di SMK.Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas. Pada 28 Feb. lawatan ke Pusat Membuat Batik Jalan PCB dan pada 27 Mac ke HUSM (Bahagian Baikpulih Anggota)

Majlis Perjumpaan Ibubapa Pelajar Intervensi & PPKI


Pegawai Khas dari Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Kelantan, En.Md.Noor b.Maun memberi ucapan perasmian sempena majlis yang diadakan. Majlis ini dihadiri ibubapa seramai 20 orang dengan ditemani pelajar (anak-anak mereka). Dalam ucapannya, beliau melahirkan hasrat pihak Unit Pendidikan Khas khususnya supaya ibubapa bagi pelajar intervensi mengambil peluang ini mendaftar anak-anak mereka dalam PPKI. Masyarakat seharusnya jangan melihat pendidikan dalam pandangan yang sempit malah perlu memberi peluang kepada anak-anak belajar mengikut keperluan dan keupayaan mereka.

SMK.Mulong melakar sejarah

SMK Mulong telah dipilih sebagai tempat yang sesuai bagi menjalankan Program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran). Program ini ditubuhkan pada 5hb. Feb.2008. Pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah amat mengalu-alukan program ini. Ia menjadi sumber inspirasi pelajar arus perdana mengenali dan bergaul secara lebih dekat dengan pelajar pendidikan khas.Pada peringkat permulaannya sebuah kelas yang dikenali sebagai bilik Celik Minda digunakan sebagai kelas untuk menjalankan proses P & P. Bermula dengan 4 orang pelajar dan 2 orang guru program ini mula mengorak langkah. Tenaga pengajarnya adalah berpengalaman dan berkelulusan dalam bidang pendidikan khas.